Media Room

Utusan Malaysia: 20 BHPetroMart Ditambah

28 JUN 2017

KUALA LUMPUR 27 Jun – Boustead Petroleum Mar­keting Sdn. Bhd. (BHPetrol) merancang untuk me­nambah 20 kedai serbaneka BHPetroMart tahun ini dengan pelaburan kira-kira RM3 juta menjadikan jumlah keseluruhan kepada 250 BHPetromart di Semenanjung Malaysia.

Pengurus Besar Bekalan, Runcit dan Hal Ehwal Kerajaan BHPetrol, Azizul Azily Ahmad berkata, pihak­nya sentiasa mencari nilai tambah bagi memaksimumkan aset dengan ketika ini telah membina sebanyak 230 BHPetromart di 360 stesen mi­nyak BHPetrol sedia ada.

Jelas beliau, BHPetrol me­nyasarkan kira-kira 80 peratus BHPetroMart di setiap stesen minyak BHPetrol menjelang peng­hujung tahun depan sekali gus memudahkan pelanggan membeli barang keperluan sambil mengisi minyak kende­raan.

“Selain itu, kami juga sedang meneroka peluang untuk meluaskan lagi operasi perniagaan dengan menambah lebih banyak kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) untuk pengguna pada masa hadapan.

“Ketika ini, BHPetrol telah memiliki dua ca­­wa­ng­an kemudahan stesen pengecas EV yang terletak di BHPetrol Su­ngai Besi Harmony dan BHPetrol Kampung Sungai Kayu Ara de­ngan pelaburan sekitar RM80,000 dengan satu lagi cawangan iaitu di BHPetrol Taman Tun Dr. Ismail juga bakal dilengkapi kemudahan ini. 

“Sebagai syarikat mi­nyak dan gas pertama yang memperkenalkan pengecas EV di Malaysia, kami yakin dengan prospek EV memandangkan semakin banyak pengeluar ken­deraan menghasilkan kenderaan hibrid yang sesuai untuk penggunaan mesra alam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

BHPetrol adalah sebahagian daripada syarikat konglomerat Boustead Group of Companies yang telah dilancarkan pada tahun 2005 untuk memasarkan produk petroleum berkualiti tinggi dengan ketika ini mempunyai rangkaian sebanyak 360 stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut, Azizul Azily berkata, selain memperkukuhkan kedudukan syarikat melalui penawaran produk petroleum dan kedai serbaneka, BHPetrol turut meneroka peluang menjalinkan kerjasama dengan syarikat lain bagi memberi lebih banyak perkhidmatan kepada pelanggan.

Katanya, antara langkah strategik yang sedang dalam pe­rancangan adalah kerjasama dengan Pos Malaysia Bhd. bagi meletakkan perkhidmatan Pos Laju EziBox di stesen minyak BHPetrol bagi membolehkan pelanggan mengambil barangan yang dipos.

“Semakin ramai rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pembelian dalam talian dan dengan adanya EziBox di stesen BHPetrol sememangnya memberi keselesaan dan kemudahan kepada pelanggan selain menjadikan stesen minyak kami sebagai pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan.

“Kami juga berharap dapat meningkatkan penguasaan pa­saran melalui segala perancangan yang sedang dan telah pun dilaksanakan sehingga penghujung tahun ini,” kata­nya.

Looking for
something
else?

Looking for
something
else?