28 JUN 2017
KUALA LUMPUR 27 Jun – Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) merancang untuk menambah 20 kedai serbaneka BHPetroMart tahun ini dengan pelaburan kira-kira RM3 juta menjadikan jumlah keseluruhan kepada 250 BHPetromart di Semenanjung Malaysia.
Pengurus Besar Bekalan, Runcit dan Hal Ehwal Kerajaan BHPetrol, Azizul Azily Ahmad berkata, pihaknya sentiasa mencari nilai tambah bagi memaksimumkan aset dengan ketika ini telah membina sebanyak 230 BHPetromart di 360 stesen minyak BHPetrol sedia ada.
Jelas beliau, BHPetrol menyasarkan kira-kira 80 peratus BHPetroMart di setiap stesen minyak BHPetrol menjelang penghujung tahun depan sekali gus memudahkan pelanggan membeli barang keperluan sambil mengisi minyak kenderaan.
“Selain itu, kami juga sedang meneroka peluang untuk meluaskan lagi operasi perniagaan dengan menambah lebih banyak kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) untuk pengguna pada masa hadapan.
“Ketika ini, BHPetrol telah memiliki dua cawangan kemudahan stesen pengecas EV yang terletak di BHPetrol Sungai Besi Harmony dan BHPetrol Kampung Sungai Kayu Ara dengan pelaburan sekitar RM80,000 dengan satu lagi cawangan iaitu di BHPetrol Taman Tun Dr. Ismail juga bakal dilengkapi kemudahan ini.
“Sebagai syarikat minyak dan gas pertama yang memperkenalkan pengecas EV di Malaysia, kami yakin dengan prospek EV memandangkan semakin banyak pengeluar kenderaan menghasilkan kenderaan hibrid yang sesuai untuk penggunaan mesra alam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
BHPetrol adalah sebahagian daripada syarikat konglomerat Boustead Group of Companies yang telah dilancarkan pada tahun 2005 untuk memasarkan produk petroleum berkualiti tinggi dengan ketika ini mempunyai rangkaian sebanyak 360 stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia.
Mengulas lanjut, Azizul Azily berkata, selain memperkukuhkan kedudukan syarikat melalui penawaran produk petroleum dan kedai serbaneka, BHPetrol turut meneroka peluang menjalinkan kerjasama dengan syarikat lain bagi memberi lebih banyak perkhidmatan kepada pelanggan.
Katanya, antara langkah strategik yang sedang dalam perancangan adalah kerjasama dengan Pos Malaysia Bhd. bagi meletakkan perkhidmatan Pos Laju EziBox di stesen minyak BHPetrol bagi membolehkan pelanggan mengambil barangan yang dipos.
“Semakin ramai rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pembelian dalam talian dan dengan adanya EziBox di stesen BHPetrol sememangnya memberi keselesaan dan kemudahan kepada pelanggan selain menjadikan stesen minyak kami sebagai pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan.
“Kami juga berharap dapat meningkatkan penguasaan pasaran melalui segala perancangan yang sedang dan telah pun dilaksanakan sehingga penghujung tahun ini,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/20-bhpetromart-ditambah-1.496872#ixzz4lH7KNeIe
© Utusan Melayu (M) Bhd